Thursday 2 February 2017

FAKE BRACES - ILLEGAL DENTISTRY SESI KEDUA

Oleh: Dr. Shamsuhaili Binti Fazil


Seperti yang dijanjikan sesi kedua ceramah radio oleh Dr. Ahmad Fadhil B. Mohamad Shahidi. Beliau yang telah ke udara di Radio Kedah fm bersama DJ Hamdan di dalam slot My Sihat pada 21.12.16. Beliau telah menyampaikan info-info berkaitan “Fake Braces – Illegal Dentistry”.

Berikut adalah petikan ceramah beliau:

SESI KEDUA: FAKE BRACES

Terdapat dua perkara paling asas tentang kehidupan kita sebagai manusia atau sebagai hamba kepada tuhan iaitu:


1. Mengajak kepada kebaikan
Dalam konteks kesihatan pergigian, kita mengajak masyarakat memberus gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari, gunakan ubat gigi berflourida, minum air dari bekalan air berflourida, makan makanan yang tinggi khasiatnya seperti banyakkan makan sayur-sayuran, buah-buahan, senaman dan sebagainya.

2. Mencegah keburukan iaitu melarang berbuat benda yang tidak baik atau perkara yang salah
Jangan makan sireh, pinang, gambir, kapur, jangan merokok. Ia boleh mengelak daripada terjadinya kanser mulut. Kurangkan pengambilan gula berlebihan. Ia dapat mengelakkan terjadinya karies gigi dan kencing manis.

Perbincangan kita pada hari ini adalah dalam aspek Mencegah Keburukan daripada terus menular dalam masyarakat. “Fake Braces – perkataan itu sendiri sudah menggambarkan apa yang kita perlu cegah dan banteras.

Apa itu “Fake Braces”?

Fake braces adalah istilah dalam bahasa Inggeris. Ia merujuk kepada pendakap gigi yang palsu. Pendakap gigi pula ialah alatan yang digunakan dengan tujuan membetulkan masalah susunan gigi seperti jongang, sesak, jarang atau lain-lain lagi.

Golongan remaja merupakan golongan pesakit/pelanggan yang memakai fake braces ini. Sebagai, contoh kes terbaru kami, satu serbuan telah dibuat pada bulan Jun 2016 di sebuah hotel di Negeri Kedah ini di mana seorang individu membuat perkhidmatan pemasangan fake braces. Saya sebagai Pegawai Penyiasat kes tersebut membuat rakaman percakapan terhadap 4 orang saksi yang merupakan pelanggan kepada individu yang menerima perkhidmatan fake braces ini. Kesemua pelanggan ini berumur 19 tahun.  

Persoalannya kini kenapa dan mengapakah golongan remaja ini menjadi sasaran.


  1. Sikap ingin tahu, ingin mencuba, ingin perhatian menyebabkan golongan ini yang paling ramai mendapatkan perkhidmatan fake braces ini.
  2. Mereka juga merasakan mereka mengalami masalah pergigian seperti gigi sesak, terdapat ruang (spacing) di antara gigi, jongang dan sebagainya.
  3. Mereka menerima maklumat @ iklan dari individu –individu tertentu berkaitan pemasangan fake braces ini melalui media social seperti Whatsapp, Telegram, Facebook dan sebagainya.
Untuk makluman pendengar, tidak semua masalah pergigian yang berkaitan dengan susunan gigi ini memerlukan rawatan braces. Keperluan terhadap rawatan braces adalah berdasarkan Index of Orthodontic Treatment Need (IOTN)

Gred 1 – No treatment need
Gred 2 – Little treatment need
Gred 3 – Moderate treatment need 
Gred 4 – Great treatment need
Gred 5 – Very great treatment need

Samada perlu atau tidak rawatan braces, ianya akan dinilai oleh pegawai pergigian yang berkelayakan.

Oleh yang demikian, kita perlu ada mempunyai sikap Tabayyun (teliti/selidiki) setiap berita. Janganlah kita terus percaya dan terima atau pun menolak mentah-mentah berita/perkara tanpa meneliti dan menyiasat kesahihan sesuatu berita/perkara.kita kena ada neraca ilmu untuk menilai berita / iklan/cerita itu benar atau tidak.

Nantikan seterusnya:

SESI KETIGA:         TIP-TIP MENGELAKKAN DIRI MENJADI MANGSA PENGAMAL PERGIGIAN HARAM
SESI KEEMPAT:      IMPLIKASI FAKE BRACES KEPADA MASYARAKAT DAN PENGAMAL PERGIGIAN HARAM


Sumber daripada skrip asal oleh Dr. Ahmad Fadhil B. Mohamad Shahidi